Monday, December 2, 2013

KEMBARA ILMU PELAJAR ORANG ASLI

                            Program Kembara Ilmu Pelajar Orang Asli yang berbentuk aktiviti kemasyarakatan ini merupakan program anjuran Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  yang melibatkan pelajar-pelajar serta keluarga daripada SK Sungai Rual. Lokasi yang dipilih adalah kampus induk Universiti Sains Malaysia, sekitar Pulau Pinang serta di Sungai Petani, Kedah pada 3 November hingga 5 November 2013 yang lepas iaitu selama 3 hari 2 malam. Program ini juga merupakan permintaan daripada pihak sekolah untuk ahli PRS UMK mengendalikan aktiviti kemasyarakatan bersama orang asli disamping  melibatkan ahli PRS UMK  sendiri sebagai fasilitator dalam mengendalikan kem motivasi serta kem unit uniform untuk pelajar-pelajar orang asli di SK Sungai Rual.
                     
                           Sepanjang program ini, turut diadakan aktiviti mengikut modul yang telah disediakan dengan kerjasama antara ahli PRS UMK dengan ahli PRS Universiti Sains Malaysia (USM). Aktiviti yang berkonsepkan kolaborasi antara dua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini mampu memberi impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak. Hal ini bertujuan untuk menyuntik semangat belajar dalam kalangan pelajar orang asli serta memberi kesedaran kepada ahli keluarga mereka tentang kepentingan pendidikan.

               Program ini dapat membantu mahasiswa/wi dalam membina keyakinan serta semangat kerjasama apabila mengendalikan sesebuah program.  Aktiviti jelajah di sekitar negeri Pulau Pinang serta di sungai Petani, Kedah juga dapat memberi peluang kepada pelajar orang asli serta keluarga mereka untuk berkomunikasi dengan dengan komuniti luar daripada kawasan mereka di samping mampu menambahkan ilmu pengetahuan yang baru kepada mereka.