Program Kembara Ilmu Pelajar Orang Asli yang berbentuk
aktiviti kemasyarakatan ini merupakan program anjuran Kelab Pembimbing Rakan Siswa
(PRS) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang melibatkan pelajar-pelajar serta keluarga
daripada SK Sungai Rual. Lokasi yang dipilih adalah kampus induk Universiti
Sains Malaysia, sekitar Pulau Pinang serta di Sungai Petani, Kedah pada 3
November hingga 5 November 2013 yang lepas iaitu selama 3 hari 2 malam. Program ini juga
merupakan permintaan daripada pihak sekolah untuk ahli PRS UMK mengendalikan
aktiviti kemasyarakatan bersama orang asli disamping melibatkan ahli PRS UMK sendiri sebagai fasilitator dalam
mengendalikan kem motivasi serta kem unit uniform untuk pelajar-pelajar orang asli
di SK Sungai Rual.
Sepanjang program ini, turut diadakan aktiviti mengikut
modul yang telah disediakan dengan kerjasama antara ahli PRS UMK dengan ahli
PRS Universiti Sains Malaysia (USM). Aktiviti yang berkonsepkan kolaborasi
antara dua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini mampu memberi impak yang
positif kepada kedua-dua belah pihak. Hal ini bertujuan untuk menyuntik
semangat belajar dalam kalangan pelajar orang asli serta memberi kesedaran
kepada ahli keluarga mereka tentang kepentingan pendidikan.
Program ini dapat membantu mahasiswa/wi dalam membina
keyakinan serta semangat kerjasama apabila mengendalikan sesebuah program. Aktiviti jelajah di sekitar negeri Pulau Pinang serta di sungai Petani, Kedah
juga dapat memberi peluang kepada pelajar orang asli serta keluarga mereka
untuk berkomunikasi dengan dengan komuniti luar daripada kawasan mereka di
samping mampu menambahkan ilmu pengetahuan yang baru kepada mereka.